摘要:Penguasaan Pengetahuan Pedagogi Isi
Kandungan guru adalah penting dalam
memastikan amalan pengajaran khususnya
aspek kosa kata memberi impak positif terhadap
kemampuan murid berbahasa. Kajian ini
bertujuan meneroka amalan pengajaran kosa
kata bahasa Arab dalam kalangan jurulatih
utama di negeri Melaka. Pendekatan kualitatif
digunakan dengan reka bentuk kajian kes
pelbagai tempat. Peserta kajian ialah empat
orang guru daripada empat buah sekolah
di negeri Melaka. Peserta dipilih secara
persampelan bertujuan. Kriteria peserta kajian
ialah jurulatih utama negeri Melaka, mendapat
pendedahan daripada Bahagian Pembangunan
Kurikulum (BPK) berkaitan sukatan dan
menyebarkannya di peringkat negeri, serta
aktif dalam aktiviti ko-akademik peringkat
negeri atau kebangsaan. Data kajian diperoleh
melalui pemerhatian dan temu bual mendalam.
Pentafsiran, penelitian dan rumusan data
dilaksanakan dengan menganalisis, pengekodan,
saringan, perbandingan dan pengkategorian.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa amalan
pengajaran kosa kata Arab yang dilaksanakan
oleh guru ialah Strategi Pembelajaran dan
Pemudahcaraan (PdP) berpusatkan guru, strategi
PdP berpusatkan murid, penekanan kepada
kemahiran bahasa, dan pengetahuan pedagogi
isi kandungan. Implikasi kajian ini menunjukkan
bahawa guru perlu melaksanakan pelbagai
kaedah pengajaran kosa kata dan menguasai
pengetahuan pedagogi isi kandungan. Dapatan
kajian ini diharapkan dapat dijadikan panduan
kepada para guru dalam melaksanakan amalan
terbaik pengajaran kosa kata dan menambahbaik
kualiti PdP bahasa Arab.